Photobucket
Google Detik Perjuangan

Perkongsian Fikrah

Siap Sedialah, IP adress anda telah dikenalpasti..!

IP

al-Fatihah Untuk Sopuriah

>> Khamis, 28 Januari 2010

"Di antara orang mukmin itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan untuk dipersembahkan kepada Allah….." al-Ahzab:23


"Assalamualaikum Aji" Pemanggil menangis. Suara seorang wanita yang tidak dapat aku pastikan siapa.

"Waalaikumussalam. Siapa di sana"
Aku menjawab lalu memerhatikan skrin telefon bimbitku, motorolla C113, yang pernah digunakan arwah kakakku tahun lepas. Selepas beliau kemalangan yang membawa kepada kematiannya beberapa ketika sebelum aku menduduki SPM, kemudiannya aku pula selesai menduduki peperiksaan SPM, aku menggunakan telefon tersebut.

Nombor pemanggil berawalan 04 menandakan pemanggil dari utara semenanjung. Tapi siapa?
>> Baca Lagi <<

"Nurul" Sepatah sahaja jawabnya kerana semakin kuat sedu tangisnya.

"Nurul? Utara tanah air? Siapa awak? Kenapa hubungiku dalam keadaan menangis? Kenalkah aku pada awak? Apa yang telah aku lakukan pada awak sehingga menangis begini?" Jiwaku dirundung persoalan berbagai-bagai.

"Nurul yang mana satu ni?" aku melontar soalan moga dijawab. Luruh hatiku mendengar tangisannya. Benarlah tangisan itu senjata wanita bagi menundukkan lelaki.

"Suhadah" jawabnya ringkas diselangi tangisan lagi..

Teka teki terjawab sudah, barulah aku mengenalpasti siapakah gerangannya. Terfikir juga aku, mungkin Nurul ini kawan kepada almarhumah kakak sulungku yang tinggal serumah semasa mereka belajar di Kolej Universiti Terengganu. Akan tetapi nombor yang aku sedang gunakan ini berlainan kerana aku menggunakan nombor aku sendiri.

Suaranya jelas berlainan akibat tangisannya, menyebabkan aku tak dapat mengagak.

Nurul Suhadah yang aku tahu seorang yang berjiwa kental, tabah hatinya, kuat pegangan ugamanya, terpilih menjadi exco BADAR KISAS dan memang sesuai dengan peribadinya yang cukup disegani itu. Tapi mengapa dia menangis? Akukah yang melukakan hatinya? Tetapi aku tak berpacaran dengan sesiapa ya! Jangan libatkan aku! Dan sekadar yang aku tahu dia juga bukan jenis yang berpacaran. Tak mungkin dia dilukakan hati kekasih!

"kenapa awak menangis? Ada apa hubungi saya ni?" tanyaku supaya hilang prasangka buruk dihati.

Habib, sahabat karibku yang sedang bersama aku membantu menyiapkan banner kempen PAS Bangi teruja mendengar aku menyebut ayat itu. Berbual dengan seorang perempuan, yang sedang menangis pula. Aku memberikan isyarat diam dengan tangan supaya dia tidak menggangguku dengan soalan-soalan atau membuat bising.

"kawan kita dah takdak" jawabnya lagi sepatah. Sedu tangisnya tidak dapat dikawal.

"siapa kawan kita tu? Dah takdak maksudnya apa?" Aku juga menggunakan lahjah utara memandangkan beliau juga pekat 'utara'nya. Barulah kena buku dengan ruas.

aku terbayangkan kematian setelah menggabungkan 'tangisan' dan 'tiada". Dan memang begitulah biasanya selain diculik atau hilang yang jarang-jarang berlaku.

Perbualan terhenti seketika. Tangisannya semakin kuat.

"Sopuriah. Sopuriah dah meninggal" bertambah kuat bunyi tangisannya.

Aku sebak, mataku bergenangan air. Kutahan perasaan.

Aku putuskan talian telefon. Aku tunduk merenung kosong ke lantai yang hanya berlapik tikar getah bercorak kotak. Habib terpinga-pinga dengan tingkahku.

Sopuriah. Yang baru beberapa hari lepas aku merenung wajahnya yang tenang, yang ceria, tersenyum girang, menyatakan hasratnya ingin menyambung pengajian di KISAS sebagai pelajar tingkatan enam dan ingin mengambil kursus STAM yang ditawarkan.

Bukan baru sahaja aku mengenali Sopuriah itu. Beberapa tahun sudah aku menyematkan namanya di jiwaku. Tapi bukannya aku ada hati dengannya. Tidak! aku tak berpacaran dengan sesiapa ya! Jangan libatkan aku! Bahkan dialah insan yang sangat-sangat aku benci dahulu.

********************

"Bangun semua!" Nizam yang berada di hadapanku di tepi pintu masuk kelas melaung keras mengambil perhatian ahli kelas tingkatan 3 Ikmal supaya bangun memberi hormat kepada guru yang masuk. Selaku ketua kelas, Nizam perlu menjadi teladan dan ikutan, ini bermakna dialah yang perlu melakukannya dahulu.

Namun laungannya tadi dalam keadaan duduk!

"Assalamualaikum semua" Ucap Ustazah Salha memulakan bicara setelah dipastikan semuanya tegak berdiri.

Ya, ustazah inilah puncanya aku membenci Sopuriah. Ustazah ini. Dan aku bersyukur kerana dengan sebab beliaulah aku benci yang sangat-sangat kepada Sopuriah yang akhirnya aku mula cuba mengenali fulanah bernama Sopuriah itu.

Semua masih dalam keadaan berdiri, belum dibenarkan duduk kerana sudah menjadi kelaziman ustazah Salha akan menguji secara spontan murid-muridnya dengan soalan kuiz pendidikan Islam.

"Keputusan ujian Pendidikan Islam kamu bulan Julai” Ayat yang dinanti-nantikan oleh semua dalam keadaan gugup dan gementar. Walaupun bergelar ustazah, namun beliau sangat tegas.

“Alhamdulillah, saya telah menyemak semuanya, dan prestasi kamu sangat bagus” Syaridah sedikit melonjak. Teruja benar dengan keputusan umum itu, sekalipun belum tahu apakah nasib markah kertas ujiannya.

“Dan seperti selalunya, yang mendapat markah tertinggi adalah &*$#%*@%"

Dan nama itu lagi. Ya, nama yang sangat kubenci, nama yang menjadi harapan semua kecuali aku, nama yang menjadi anak emas ustazah Salha. Nama yang diulang lagi dan lagi.

Ustazah sangat berat sebelah. Pada masa itu pernah aku ungkapkannya kerana membenci sikap pilih kasih begitu. Dan pada waktu itu mungkin aku yang masih berfikiran agak kebudak-budakan walaupun sudah ada sejemput janggut di daguku. Aziz dan Azizi, pasangan kembar seiras yang sebaya umurku dan kami menginap di dorm yang sama sering memainkan janggutku itu sambil kedua-duanya mengajuk iklan Petronas di kaca televisyen

"Nak pegang janggut ayah…eei geli".

Harapnya ucapanku dahulu yang hanya berasaskan hawa nafsu dan pemikiran tak matang, walaupun tiada seorangpun tahu tentangnya, dimaafkan ustazah. Aku berdosa terhadap ustazah kerana menuduh ustazah pilih kasih tanpa bukti atau sandaran jelas. Aku memfitnah ustazah. Ustazah, tolong maafkan aku.

********************

Usai PMR, alhamdulillah keputusanku tak disangka-sangka. Yang aku sangkakan mungkin separuh atau kurang dari separuh dari jumlah matapelajaran yang aku peroleh gred A. Rupa-rupanya Allah memberikan lebih yang banyak.

Aku mendapat tawaran ke KISAS. Aku pun tak tahu apa itu KISAS. Setelah berfikir pendek, setelah bertanya beberapa orang guru termasuk Ustazah Salha dan Ustaz Hamizul, aku membuat keputusan.

Aku terpaksa bertanya ustazah Salha kerana beliau merupakan lepasan SMAP Labu, salah sebuah SBP seumpama KISAS juga. Daripada beliaulah aku pada waktu itu baru tahu Ustaz Hamizul merupakan lepasan KISAS walaupun setelah setahun lebih beliau berkhidmat di sekolah ini. Sungguh, aku tidak tahu tentang KISAS.

Paling tidak dapat aku lupakan daripada bertanyakan pendapat, Ashraf Rahim, kawan karib serta pakcik yang memberikan nasihat. Pakcik?

Beliau sebaya umurku tetapi tingkah lakunya bagaikan pakcik tua yang matang dan berpengalaman. Bersama dengannyalah kami membentuk kumpulan al-Maunah dengan tujuan untuk menimba ilmu pengetahuan secara talaqqi dengan guru murshid kami Ustaz Rijaluddin secara rahsia.

Walaupun rahsia perkumpulan itu, tetapi kadang kala pengajian kami dihadiri ramai juga kerana dibuat sewaktu para pelajar berkumpul untuk solat Subuh dan Mahgrib. Beberapa kitab habis ditelaah bersama.

Paling indah memorinya ‘Group Maunah’ pabila kami menghadiri sekolah diwaktu cuti Disember tahun 2000, yang berbetulan bulan puasa. Menginap di surau sekolah, belajar dengan Ustaz Rijal, menghabiskan makanan sahur kononnya sebagai supper. Susah-susah pula makngah, isteri ustaz memasak sahur untuk kami lagi. Kelakar bila diingat balik.

********************

“Bagi melarikan diri dari Sopuriah”.

Itulah antara tujuannya yang mempengaruhi aku berpindah sekolah. Siapa yang tahu? Hanya aku dan diri aku serta Allah yang Maha Mengetahui. Betapa ceteknya pemikiran ala kanak-kanak itu walaupun umurku ketika itu hampir memasuki angka 16.

Selepas aku mengemas barang-barangku, lalu memuatkannya ke dalam van ayahku yang sedang menunggu di perkarangan asrama, dataran roll call (atau row call ejaannya? Entahlah) yang menjadi saksi kesungguhan kami pasukan kawad kaki KRS tahun 2000 berlatih dibawah bimbingan saudara Hafiz Ali dan Ali Rajaai sehingga menggondol juara di Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun itu di Ipoh, Perak.

Semasa memasukkan barang dalam van, aku terlihat sebuah kereta di bahagian aspuri, lagak gayanya seperti berpindah sekolah sepertiku juga. Biarkanlah. Siapalah agaknya ya? Ke mana dia berpindah?

Setelah van ayahku bergerak meninggalkan dataran penuh bersejarah itu, menghala ke pintu keluar lalu bergerak begitu hampir dengan kereta di aspuri tersebut, mataku tertangkap pada wajahnya. Ya, wajah yang sangat aku kenal tapi benci itu.

“Kalau dia juga berpindah, kenapa aku berpindah sekolah untuk menjauhkan diriku darinya?”

********************

Aku mendaftarkan diri di kisas pada 4 Februari 2002 di kelas 4Ag10 dibawah bimbingan guru kelas yang sangat penyayang, Pn Rohazila. Sobirine juga bersama aku berpindah dari SMKANT ke KISAS namun beliau di kelas 4Ag9.

Setelah beberapa tempoh di kisas, aku dikejutkan emel dari white_gull yang memperkenalkan dirinya Sopuriah. Rupa-rupanya alamat email aku yang ditayangkan di meja tulisku dahulu diambil. Tak kisahlah nak diambil pun. Yang penting bagiku adalah jangan menyemakkan kantung surat emailku dengan iklan-iklan sampah.

Yang sangat mengejutkan adalah Sopuriah juga ke KISAS di kelas 4Sc5, bersama 4 lagi muslimat lainnya iaitu Mardhiyana, Khalilah, Amalina dan Azimah Hani. Aku melarikan diri darinya tetapi aku bertemu dengannya di sekolah yang sama. Apakah nasib? Apakah takdir?

Menghairankan juga, kenapalah Azimah Hani ini asyik mengekori aku? SMKANT sama kelas denganku 2 daripada 3 tahun, SKPTM pula 4 daripada 6 tahun sama kelas denganku juga, itu pun semasa di darjah dua kelas tak dirombak, kalau dirombak juga mungkin semasa darjah dua aku sekelas dengannya juga. Dulu sebelum aku berumur 7 tahun, aku ditadikakan sebagai pelajar tahun satu di SK Teluk Pial, Kuala Kurau. Berbetulan ayahku bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, beliaulah yang mendaftarkan aku. Sedang aku di kelas belajar menulis angka 'satu' di dalam buku tulis berkotak-kotak besar, masuk pelajar baru, lalu diperkenalkan diri oleh guru kelas sebagai "Azimah Hani, anak Cikgu Hasnah dan Cikgu Din yang comel lote".

Jiranku, Pn Rohani, kerani di sekolah yang sama mengetahui bahawa Azimah memasuki kelas yang sama denganku, bertanya kepadaku di rumah ketika aku hendak keluar bermain di padang, "Tadi kat kelas ada budak baru ka Aji?"

"Ada, comel lote" jawabku mengajuk cakap guruku. Teringat aku beg dan bekas pensel azimah yang bergambar kartun katak hijau. Mungkin azimah peminat setia watak kartun itu!

Aku diusiknya dengan perkataan "comel lote" itu. Walaupun aku tak memahaminya.

Tersedar dari lamunan kisah lampau, mataku tertumpu kembali ke kaca skrin computer di bilik Kelab Sains Komputer KISAS atau nama mudahnya cyber café.

Emel itu bertujuan untuk berhubung denganku dan Sobirine bagi menghasilkan sebuah kad hari guru kepada guru-guru di SMKANT. Bermula hari itu aku berhubungan dengannya.

Benci? Masih ada. Masih meluap-luap. Masih berapi-api.

********************

Di hujung tahun, Muktamar Sanawi BADAR KISAS diadakan, aku dapat mendengar dengan jelas nama itu disebutkan. Ya, aku yakin telingaku tak silap. Jelas sekali. Sopuriah dilantik sebagai Timbalan Exco Kesenian. Dan aku?

Tiada!

Hatiku berkata-kata. Kata-kata menghasut.

"nah kau! Benci lagi? Apa salahnya dia padamu? Kalau dia yang kau benci mendapat tempat sebagai exco, kau? Apa pun kau tak dapat, tahu! Kau lebih rendah Aji, lebih hina darinya yang kau benci itu"

Aduh. Aku tertampar dengan hasutan itu.

Alhamdulillah, di KISAS aku belajar mendidik egoku. Terima kasih ketua-ketua pelajar yang memarahiku dan kawan-kawanku di dewan makan saban malam. Dari seorang yang panas baran, aku mula punyai jiwa dan perasaan.

"Semestinya dia mempunyai kelebihan berbanding aku. Mengapa tidak aku merisik? Mengenalinya lebih mendalam lagi"

Aku mula berfikir, hatiku mula bertindak, bibit cinta mula berputik. Ah, aku bukan jenisnya berpacaran. Maaf, jangan libatkan aku!

Terima kasih ustazah kerana menyebabkan aku membencinya yang teramat sangat. Syukur kehadrat Allah kerana memberiku jalan ini. Alhamdulillah.

Benarlah suatu hikmah arab berbunyi:
اِحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْناً ماَ ، عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْماً ماَ
اِبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْناً ماَ ، عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْماً ماَ

Maksudnya: berpada-padalah mencintai kekasihmu, boleh jadi dia akan kamu benci suatu hari nanti. Bencilah musuhmu berpada-pada, boleh jadi itulah cinta hatimu suatu hari nanti.

Sebelum tamat sesi persekolahan tahun 2002, aku dilantik sebagai ketua pelajar, istilah yang jika di sekolah lain dipanggil pengawas, namun nampak gah bukan?

Ketua pelajar dan BADAR merupakan dua entiti besar di KISAS. Namun umum mengetahui, exco BADAR merupakan insan pilihan yang terpaling baik akhlak dan sahsiahnya juga ilmu ugamanya berbanding ketua pelajar. Aku yang baru makan penampar jiwaku sendiri itu mengakuinya. Ya, sangat benar kenyataan itu.

Semasa di tingkatan 5, aku banyak berubah. Aku diamanahkan bersama-sama dengan Farid Hamlud menggerakkan sebuah usrah yang terdiri dari 4 orang ahli. Naqib yang sungguh mengecewakan, boleh pula melupakan nama anak-anak usrahnya ketika cerita ini ditulis?

Aku terlibat banyak perkara semasa di tahun tersebut.

Akhirnya aku dikejutkan dengan pemergian kakak sulungku di saat akhir sebelum aku menduduki SPM.

********************

Semasa masih bersama Tanzim Jabatan Nuqaba' BADAR, aku dan beberapa rakan menyatakan hasrat untuk stay tingkatan enam di KISAS. Dan aku yang bercita-cita hendak ke Mesir ingin mengambil kursus STAM, manakala Habib dengan ekonominya dan Azuan yang bercita-cita menjadi peguam dengan kelas sejarah. Alhamdulillah walaupun dengan pilihan jalan sendiri, semua kami Berjaya dengan jayanya, tambahan pula Azuan berjaya menjadi pelajar terbaik STPM Malaysia.

Ramai lagi yang lain seperti Ajud, Sobirine, Nazirul Mubin, Tuan, Yusalmie, tetapi hanya tiga orang kami sahaja yang dapat mendaftar sebagai pelajar tingkatan enam KISAS. Yang lain terpaksa akur dengan kehendak keluarga yang mahukan mereka mendaftar sebagai pelajar matrikulasi kerana tawarannya diterima terlebih dahulu daripada tawaran ke tingkatan enam KISAS.

Dan sebagai persediaan menduduki tingkatan enam, sebagai senior pelajar sudah tentu pastinya guru-guru akan mengutamakan kami dalam memimpin pelajar, maka kami dengan inisiatif sendiri menyertai kursus kepimpinan yang asalnya untuk mahasiswa dan mahasiswi UKM. Disebabkan abang kepada Azuan merupakan pemimpin ISIUKM, maka kami memohon izin menyertainya bersama.

Di kesempatan itulah Wan Zahidah menghubungi Habib. Mereka telah saling berhubung lama dahulu namun Wan baru mengetahui Habib akan ‘STAY!’. Wan bertanya bagaimana hendak mendaftar tingkatan enam di KISAS kerana beliau juga berkira-kira akan menolak tawaran matrikulasi atas nasihat ayahnya yang merupakan seorang pensyarah Universiti. Daripada beliaulah kami dapat tahu Suhadah dan sahabat karibnya Sopuriah sedang menziarahi ayah angkat mereka, Pakcik Sulaimi, di Klang.

29 Januari, kami bertiga menuju ke KISAS, menziarahi bangunan agam yang bersejarah itu selepas program tamat dan merancang bertemu dengan Suhadah dan Sopuriah, bagi menghasut mereka untuk STAY! bersama. Dan di kesempatan itulah sahaja aku berpeluang merenung wajah tenangnya buat kali terakhir sedalam-dalamnya penuh pengharapan.

Wajah yang banyak 'dosa kering'-ku terhadapnya kerana mencaci, menghina, berburuk sangka, dan berbagai lagi kisah silam yang cuba aku lupakan. Wajah yang dari benci menjadi rindu. Wajah yang peribadinya mengusik hatiku. Wajah yang berjaya mencuri hatiku. Wajah yang tidak sempat aku tenung kerana kesyadidanku dalam berurusan dengan wanita, hanya memandang sekilas dengan perasaan benci penuh noda dan dosa.

Ajud bergegas ke KISAS dari rumahnya di Banting setelah mengetahui kami ke KISAS. Ajud sering mengulang-cadang supaya strategi “missed-call”nya dipraktikkan.

" missed-call je?" rungutku di dalam hati. Bagaimanalah kami yang bersekolah mahu membawa telefon? Kalaulah boleh telefon awam di asrama itu berdering!

Kami berpisah. Suhadah dan Sopuriah kembali ke utara tanah air pada malam 29 Januari menaiki perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad. Pada 30 Januari aku, habib dan azuan pula berpisah untuk menyambut Eidul Adha. Habib mengikutiku berhari raya bersama keluargaku di kampung.

Walaupun rumahku dan rumah Sopuriah hanya dipisahkan jarak lebih kurangnya 30 kilometer, namun aku tidak pernah menziarahinya sekalipun untuk hari raya terakhir buatnya ini. Memang aku pun tidak mengetahui di mana rumahnya melainkan setelah aku menziarahi rumahnya serta pusaranya, iaitu selepas beliau meninggalkan bumi yang sementara ini.

********************

3 Februari, aku dan habib kembali ke Bangi, untuk bersama abang Qadri, lepasan pelajar kisas juga rupanya, yang kami mula berkenalan dalam kursus kepimpinan yang baru sahaja berlalu, bergerak melawat dari satu Universiti ke satu Universiti, sambil merasai suasana belajar di universiti tempatan.

Sebelum program anjuran sendiri itu antara aku, Habib dan abang Qadri, kami diminta oleh abang Syukor yang merupakan sahabat baik abang Qadri, untuk membantunya di pejabat Majlis Tindakan Dun Bangi.

13 Zulhijjah, bersamaan 4 Februari 2004, perginya Sopuriah bersama kedinginan bayu pagi, yang masih dalam kehangatan suasana hari raya Eidul Adha, hari tasyriq ke-3, meninggalkan perjuangan yang belum selesai. Perjuangan menyambung mata rantai Islam.

Permata hangat pecah berderai lagi dari bibir mataku. Ayat ke-23 surah al-Ahzab terngiang-ngiang dengan dendangan suara Ustaz Razzi Zabidi mengulang-ulang ayat ini serta diulasnya panjang lebar dalam kursus kepimpinan yang penuh bersejarah itu.

".....maka di antara mereka ada yang gugur, dan diantara mereka ada pula yang menunggu-nunggu giliran, dan mereka sedikitpun tidak merobah janji mereka kepada Allah" al-Ahzab:23

Al-Fatihah buat Sopuriah.

Lagu "sebuah pertemuan" terus berputar, mengembalikan aku kepada nostalgia 6 tahun lalu, pada 7 Zulhijjah bersamaan 29 Januari 2004, aku menatap wajahnya buat kali terakhir.

********************
CerPan (cerita panjang) hasil nukilan : panglimakhalid[@]putera[dot]com

# Watak semuanya adalah benar-benar belaka bukan rekaan atau cobaan..
# Jalan cerita berdasarkan olahan imaginasi penulis.
# Tiada kaitan antara yang masih hidup atau yang pernah hidup atau yang akan hidup kecuali plot pertama Nurul Suhadah menangis. Dari mana kamu dapat nombor telefon saya? Habib dan Wan, ini cerita sahaja, jangan marah ya! Azuan, sejak bila ada abang?
# Dan Siti Sopuriah Binti Abdul Hamid (tolong maklumkan nama ibunya) sememangnya telah meninggal dunia pada tarikh dan waktu seperti yang diceritakan. Ini benar.
# Ayah Sopuriah, Abdul Hamid, juga telah bersama Sopuriah menghadap sembah Allah Taala, pada penghujung Julai 2009. Kuburan mereka bersebelahan terletak di hadapan mihrab imam di tanah perkuburan Islam di halaman Masjid Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

4 comments:

PanglimaKhalid.com 29 Januari 2010 pada 12:44 PTG  

pepatah arab tersebut tidaklah sesuai digunakan untuk kecintaan kepada Allah dan Rasulullah kerana di situ dituntut cinta sepenuh jiwa. cinta ibu-bapa, isteri/suami dan ahli keluarga dituntut tetapi tidaklah sepertimana cinta Allah dan Rasulullah SAW.

Tanpa Nama,  29 Mac 2010 pada 12:06 PG  

perginya seorang junior yg sangat aku sayangi. 3 thn bersamanya di SMKANT sangat bermakna. Selalu berutus surat dengan dia. Ingat nak call tanya result SPM. Tapi jawapan lain yg diterima.

Unknown 4 Mac 2016 pada 12:11 PG  

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..amin ya rabb..

Unknown 4 Mac 2016 pada 12:12 PG  

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..amin ya rabb..

Catat Ulasan

Photobucket

Senarai Blog

Blog List

BADAR KISAS

Yahoogroups Alumni Kolej Islam

Senarai Blog

Bloggers Blogs


  © Blogger template Limau Manis by AJI-UTK

Back to TOP